5 Pengajaran Berguna Dari Kisah Nabi Musa Berdialog Dengan Allah

Inilah Info Sejarah Nabi Musa , 5 Pengajaran Berguna Dari Kisah Nabi Musa Berdialog Dengan Allah S.W.T. | Kisah Nabi Allah Musa a.s berdialog dengan Maha Pencipta, merupakan satu kisah yang tidak asing lagi bagi mereka yang berpegang pada agama Samawi. Kisah ini telah di kekalkan oleh Allah di dalam kitab Taurat, kitab Injil dan juga kitab Al-Quran.

Semestinya terdapat pelbagai pengajaran di dalam kisah ini sehinggakan ianya diabadikan di dalam Surah Taha, surah ke 20 di dalam Al-Quran.

1 – Hidayah Tidak Akan Datang Bergolek

Dan sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa? Ketika ia melihat api, lalu berkatalah ia kepada isterinya: “Berhentilah,

Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya, atau aku dapat di tempat api itu: penunjuk jalan. (Surah Taha: 9-10)

Bait-bait ayat suci di atas adalah bagaimana Allah memulakan kisah Nabi Musa a.s. berdialog dengan-Nya. Mari kita kembali ke zaman tersebut, zaman di mana tiada lampu elektrik menerangi jalan dan tiada kenderaan moden.

Bayangkan kita berada di tempat baginda Musa a.s, sedang berjalan bersama keluarga baginda di tengah padang pasir yang gelap lagi gersang. Tanpa sebarang cahaya lampu, semestinya mereka hanya berpandukan kepada cahaya bulan dan bintang.

Di dalam kegelapan itulah, Nabi Musa a.s berjalan di dalam kepayahan, dengan harapan akan menemui sumber cahaya yang akan membantu baginda dan keluarga untuk menempuhi kegelapan padang pasir.

Baginda Nabi Musa a.s bukan sahaja mendapat sumber cahaya untuk mengharungi kegelapan padang pasir, malah mendapat ‘sumber cahaya’ untuk menempuh kehidupan. Di angkatnya baginda oleh Allah sebagai Rasul dan diberinya baginda kitab sebagai panduan hidup.

Itulah hakikat kehidupan, hidayah bukanlah datang bergolek semata-mata. Kita seharusnya berusaha untuk mendapat hidayah dengan mendalami ilmu-ilmu yang diredhai oleh Allah dan bermanfaat untuk kita. Hanya selepas kita berusaha, Allah akan menghadiahkan kepada kita hidayah tersebut.

2 – Solat Adalah Cara Mengingati Pencipta

Jika kita amati, kita pasti akan ingat saat-saat kita bertemu dengan kekasih kita ataupun sesiapa yang kita sanjung. Ada di antara kita yang akan ingat saat,

pertama kali bertemu dengan pasangan kita, ada yang masih segar dalam ingatan saat pertama berjabat tangan dengan seorang ulama’, ada juga yang ingat saat pertama bertemu dengan artis pujaan kita.

Nabi Musa a.s, seorang yang terkenal dengan warak dan cintakan Sang Pencipta, kini berdiri di hadapan Allah Al-Khaliq dan berpeluang untuk berbicara denganNya tanpa ada hijab.

Sudah pasti baginda akan mengingat saat ini sehingga akhir hayat. Namun begitu, Allah s.w.t menegaskan di dalam kalam-Nya bahawa satu-satunya bukti yang baginda mengingati Allah adalah…

“Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku. (Surah Taha: 14)

… dengan solat! Ini menunjukkan betapa pentingnya ibadah solat di dalam kehidupan seharian kita. Menurut salah satu hadith Nabi Muhammad s.a.w, solat merupakan salah satu daripada tiang dalam agama (hadith lengkap terdapat di dalam riwayat Imam Baihaqi).

Solat merupakan salah satu tanda kita sebagai hamba mengingati Pencipta.Mereka yang tidak mendirikan solat sebenarnya telah meruntuhkan agama mereka sendiri.

Mereka yang tidak mendirikan solat juga seolah-olah telah melupakan Allah. Sebagai seorang muslim, kita sepatutnya sentiasa membasahkan lidah kita dengan zikrullah dan sentiasa mengingati Allah di dalam apa jua keadaan. Hanya dengan mengingati Allah, jiwa ini akan merasa tenang seperti firman Allah di dalam Surah Ar-Ra’d,

Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Surah Ar-Rad’h: 28)

Benarlah jua serangkap nasyid yang terkenal di tanahair kita, “walaupun hidup seribu tahun, kalau tak sembahyang apa gunanya?”

3 – Jangan Bersandar Kepada Makhluk

Di dalam dialog antara Nabi Musa a.s dengan Allah s.w.t, Allah s.w.t telah memerintahkan kepada baginda a.s supaya mencampakkan tongkat baginda a.s ke bawah. Ini telah di abadikan di dalam ayat tersebut

Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?” Nabi Musa menjawab: “Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu”. Allah Taala berfirman: “Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa!” (Surah Taha: 17-19)

Apabila ditanya oleh Allah s.w.t, apakah yang berada di tangan kanannya, Nabi Musa a.s. menjawab, bahawa ianya adalah tongkat tempat baginda bersandar.

Maka diperintahkan oleh Allah s.w.t supaya dicampakkan tongkat yang dikatakan tempat sandaran baginda. Antara pengajaran yang boleh diambil adalah kekuatan tauhid di mana kita seharusnya buang

segala sandaran yang kita ada terhadap makhluk dan mula bersandar kepada Allah tanpa meninggalkan hakikat bahawa kita seharusnya berusaha.

4 – Percaya Kepada Tuhan

Tongkat yang dicampak oleh baginda Musa a.s, seperti yang diketahui oleh majoriti orang-orang Islam dan Kristian, telah ditukarkan oleh Allah menjadi satu ular yang sangat besar.

Allah Taala berfirman: “Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa!” Lalu ia mencampakkannya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang bergerak menjalar.

Allah berfirman: “Tangkaplah akan dia, dan janganlah engkau takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya yang asal. (Surah Taha: 19-21)

Bayangkan jika kita berada di tempat Nabi Musa a.s, ketika di mana kita berada di dalam kepekatan malam, kita dapat melihat seekor ular yang besar yang menjalar dengan laju.

Sudah pasti kita akan berasa takut dan mahu melarikan diri daripada tempat tersebut! Namun begitu, Allah memerintahkan Musa a.s. supaya menangkap ular tersebut.

Secara dasarnya, apabila kita mahu seseorang itu melakukan sesuatu yang merbahaya, kita akan mengatakan kepadanya supaya ‘jangan takut’ dan ‘lakukannya dengan segera’.

Di dalam kisah Musa a.s. pula, Allah memerintahkan supaya Musa a.s ‘menangkap ular itu’ dahulu dan ‘jangan takut’ di letakkan di tempat kedua.

Dengan kuasa Tuhan tongkat Nabi Musa bertukar menjadi ular. Udoncrew, Kenapa struktur ayatnya begitu, Apa yang Allah s.w.t hendak mengajar kita dan juga Musa a.s pada waktu itu?

Allah s.w.t mahu mengajar kita supaya kita meletakkan kepercayaan kepada Allah dalam apa jua perkara. Musa a.s. akan di hantar untuk berdakwah dengan Firaun, satu perbuatan yang sangat merbahaya pada waktu itu, malah lebih bahaya daripada menangkap ular yang berbisa!

Dengan memerintahkan Musa a.s. supaya menangkap ular tersebut dan jangan takut (di dalam susunan tersebut), Allah mengajar Musa a.s. dan kita semua supaya melakukan sesuatu perkara dan yakini bahawa Allah akan membela,

dan menyelamatkan kita selagi mana Dia berkehendak. Ini adalah satu pengajaran tauhid yang sangat tinggi dan tidak boleh di dapati dari mana-mana kitab melainkan Al-Quran.

5 – Jangan Lari Dari Tanggungjawab

Apabila Allah s.w.t memerintahkan Musa a.s. supaya berhadapan dengan Firaun, baginda a.s. membaca satu doa yang amat tidak asing lagi bagi kita semua

Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; dan mudahkanlah bagiku, tugasku; dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, supaya mereka faham perkataanku. (Surah Taha: 25-28)

Hebat! Setelah diberikan tanggungjawab yang berat, Nabi Musa a.s. terus berdoa kepada Allah supaya dipermudahkan akan urusannya. Secara jujurnya,

seberapa ramaikah kita yang akan terus meminta kepada Allah supaya dipermudahkan urusan setiap kali kita diberi satu tanggungjawab yang berat?

Rata-rata antara kita akan mengeluh dan berharap supaya kita tidak diberi tanggungjawab yang berat tersebut. Kita seharusnya mencontohi semangat dan keberanian Nabi Musa a.s di dalam mendokong tanggungjawab tanpa mengeluh.

Banyak Lagi Pengajaran Lain

Secara jujurnya, terdapat banyak lagi pengajaran yang boleh diceduk daripada kisah Nabi Musa a.s. berdialog dengan Allah s.w.t, namun hanya ini sahaja yang dapat penulis kongsikan bersama buat masa ini.

Jika diizinkan Allah, penulis akan berkongsi lagi pengajaran-pengajaran yang terdapat di dalam kisah yang unik lagi menarik ini.

Sudahkah kita bersedia untuk menjadi seperti Nabi Musa a.s; berusaha keras mencari hidayah Allah, mendirikan solat dengan lengkap lagi sempurna,

membuang segala sandaran kepada makhluk, meletakkan kepercayaan kepada Allah tanpa dipengaruhi emosi dan sentiasa berdoa kepada Allah tanpa mengira penat lelah?

Semoga kita semua diberkati Allah dan letakkan di kalangan orang beriman.

KONGSIKAN TAZKIRAH INI

Mohon Subscribe Channel Nasihat Ustaz, Semoga Ada Amalan Kita Untuk Hari Ini, Jom Buat Saham Untuk Akhirat