Boleh Ke Jika Kita Memberi Salam Pada Kelompok Yang Mempunyai Orang Yang Bukan Islam?Ini Penjelasan Dari Mufti

Islam menggalakkan umatnya untuk menyebarkan salam sesama mereka. Penyebaran salam itu bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim antara sesama umat Islam agar tidak berpecah belah.

Namun begitu, timbul persoalan berkaitan hukum seseorang muslim memberi salam kepada satu kelompok yang bercampur antara orang Islam dan bukan Islam. Adakah ia dibenarkan di dalam Islam?

Tampil menjawab soalan, Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi artikel soal jawab agama, di saluran portalnya, Maktabah Al-Bakri.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bolehkah memberi salam kepada kelompok yang bercampur antara orang Islam dan bukan Islam?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Malaysia adalah sebuah negara majmuk. Kehidupan masyarakat Malaysia yang berbilang etnik, bangsa dan agama menjadikan kehidupan rakyat Malaysia adalah unik. Disebabkan itu, penerapan konsep Fiqh al-Ta’ayush serta kefahaman terhadapnya perlulah diusahakan bagi mewujudkan sebuah negara dan tamadun yang dipandang tinggi di mata dunia.

Fiqh dari segi bahasa bermaksud kefahaman yang mendalam, manakala dari segi istilah ia merujuk kepada ilmu mengenai hukum-hukum Syarak yang bersifat amali yang diambil daripada dalil-dalil tafsili.[1]

Perkataan al-ta’ayush pula berasal daripada kalimah a’ish yang bermaksud hidup. Kalimah al-ta’ayush merujuk kepada kehidupan bersama antara satu sama lain dalam keadaan kasih sayang dan harmoni. Dalam Mu’jam al-Lughah al-Arabiyyah al-Mu`asarah, dinyatakan: (تعايشَ يتعايش، تعايشًا، فهو مُتعايش) :

Disebutkan dalam bahasa Arab: “Ta’ayasha al-jiran” (تعايش الجيرانُ) iaitu mereka hidup atas sikap kasih sayang, beri memberi, dan kejiranan yang baik”.
Dua orang sahabat hidup berta’ayush ketika mengembara atas kasih sayang.
Dua negara berta’ayush secara kehidupan yang aman. Al-Ta’ayush al-silmi (التَّعايش السِّلميّ) antara negara iaitu persefahaman antara negara untuk tidak melampaui batas atas satu sama lain. Manusia berta’ayush bermaksud mereka hidup dalam satu zaman dan tempat.”[2]
Dari sudut istilah, menurut Syeikh Muhammad bin Hasan al-Syarif, disebut: “Adapun maksud ta’ayush ialah (kehidupan) antara kita dan bukan Islam yang menetap di sekeliling kita dari kalangan ahli zimmah yang dinamakan sekarang sebagai warganegara dan juga kehidupan antara golongan bukan Islam yang ada perjanjian (mu’ahad) yang masuk ke Negara kita dengan perjanjian aman iaitu yang dinamakan sekarang sebagai visa.”[3]

Syeikh. Dr. Mahasin al-Fadhl pula menjelaskan: “Ta’ayush bermaksud anda hidup bersama dengan orang lain dalam keadaan boleh menerima kewujudan masing-masing dan secara harmoni sama ada mereka menyamai anda atau berbeza tanpa salah seorang menghalang kehidupan yang lain.[4]

Meskipun begitu, konsep Fiqh al-Ta`ayusy bukan bermaksud mengkompromi kedudukan Islam sebagai agama kebenaran. Ini disebut oleh Syeikh Muhammad al-Syarif: “Bukan bermakna dalam konsep al-taqarub (merapatkan) dan al-ta`ayush menuntut kepada proses taqrib antara agama. Bukan, dan aku berlindung dengan Allah daripada perkara itu. Sesungguhnya Islam itu adalah satu-satunya agama yang benar, dan agama selainnya adalah batil dan tertolak. Setiap agama lain itu pula adalah kesyirikan, kesesatan, dan kerosakan, pada kepercayaan secara total. Akan tetapi apa yang aku kehendaki daripada al-taqarub dan al-ta`ayusy ialah memperkenalkan Islam kepada orang bukan Islam dan mengajak kepadanya. Jika mereka tidak menerimanya sebagai agama sekalipun maka ketika itu hendaklah kita meletakkan kaedah-kaedah bagi mengelakkan pertumpahan darah, menjamin manusia untuk melakukan aktiviti di atas muka bumi, meninggikan keadilan ke atas mereka, dan saling menolong pada perkara yang boleh dilakukan bersama.”[5]

Memberi Salam dan Hukumnya yang Asas

Ucapan salam merupakan ucapan sejahtera dan selamat bertujuan memberi penghormatan sesama saudara muslim. Kebiasaan lafaz yang digunakan seperti assalamualaikum, salam sejahtera dan ucapan selamat yang lain. Firman Allah SWT:

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا

Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.” [6]

Dalam mentafsirkan ayat di atas, Syeikh al-Sa’di menyatakan di dalam kitabnya: Ucapan salam merupakan lafaz yang diucapkan dan dijawab kepada seseorang untuk memuliakan dan mendoakan kebaikannya.[7]

Para ulama’ Maliki mengatakan majoriti umat Islam berpendapat bahawa hukum memberi salam adalah sunat, manakala hukum menjawab salam adalah fardhu berdasarkan ayat ini.

Ibn al-Arabi menukilkan pandangan salah seorang ulama’ mazhab maliki iaitu Abdul Wahhab, katanya: Memberi dan menjawab salam hukumnya fardhu kifayah jika berada dalam satu kumpulan. Oleh itu, memberi salam adalah fardhu bagi orang yang dikenali, dan sunat jika tidak dikenali. Hal ini kerana orang yang dikenali jika tidak diucapkan salam kepadanya akan menyebabkan dia terasa hati.[8]

Antara hadith Nabi SAW yang menceritakan akan kelebihan “Salam” serta perintah menyebarkannya adalah riwayat daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash RA, katanya:

أنَّ رجلًا سأَل النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم : أيُّ الإسلامِ خيرٌ ؟ قال : تُطعِمُ الطعامَ، وتَقرَأُ السلامَ، على مَن عرَفتَ، وعلى مَن لم تَعرِفْ

Maksudnya: “Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah SAW: Islam manakah yang paling baik? Nabi SAW bersabda: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal.” [9]

Pada asalnya hukum memberi salam adalah disunatkan, ini merupakan pandangan Mazhab Maliki, Syafi’e dan Hanbali. Dan menjawab salam itu adalah diwajibkan dan sekira diberikan salam itu kepada sekumpulan manusia maka hukumnya fardhu kifayah ke atas mereka.[10]

Selain itu Imam al-Nawawi menyatakan di dalam kitabnya: Hukum memulakan salam itu adalah sunat muakkad. Adapun hukum menjawab salam adalah fardu atau wajib secara ijma’. Sekiranya seseorang memberi salam kepada seseorang yang lain maka yang kedua itu wajib menjawabnya sebagai fardu ain. Manakala sekiranya diberi salam kepada sekelompok manusia, maka menjawabnya menjadi fardu kifayah.[11]

Hukum Memberi Salam kepada Kelompok Islam dan Bukan Islam

Berdasarkan kepada isu di atas, sememangnya telah terdapat satu hadith Nabi SAW berkaitan larangan terhadap umat Islam untuk memberi atau memulakan ucapan salam “Assalamualaikum” kepada bukan Islam. Perkara ini adalah berdasarkan kepada satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

لَا تَبْدَؤُوا اَلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى بِالسَّلَامِ

Maksudnya: “Janganlah kalian memulakan ucapan salam kepada orang Yahudi dan juga Nasrani.”[12]

Menjawab kepada isu di atas, hukum memberi salam kepada kumpulan yang terdiri padanya orang-orang Islam dan orang-orang bukan Islam adalah harus dan dibolehkan. Hal ini bertepatan dengan satu peristiwa yang ditunjukkan oleh Nabi SAW sendiri. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Usamah Bin Zaid R.A, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم رَكِبَ حِمَارًا عَلَيْهِ إِكَافٌ تَحْتَهُ قَطِيفَةٌ فَدَكِيَّةٌ وَأَرْدَفَ وَرَاءَهُ أُسَامَةَ وَهُوَ يَعُودُ سَعْدَ بْنَ عُبَادَةَ فِي بَنِي الْحَارِثِ بْنِ الْخَزْرَجِ وَذَاكَ قَبْلَ وَقْعَةِ بَدْرٍ حَتَّى مَرَّ بِمَجْلِسٍ فِيهِ أَخْلاَطٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُشْرِكِينَ عَبَدَةِ الأَوْثَانِ وَالْيَهُودِ فِيهِمْ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أُبَىٍّ وَفِي الْمَجْلِسِ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ رَوَاحَةَ فَلَمَّا غَشِيَتِ الْمَجْلِسَ عَجَاجَةُ الدَّابَّةِ خَمَّرَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أُبَىٍّ أَنْفَهُ بِرِدَائِهِ ثُمَّ قَالَ لاَ تُغَبِّرُوا عَلَيْنَا ‏.‏ فَسَلَّمَ عَلَيْهِمُ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ وَقَفَ فَنَزَلَ فَدَعَاهُمْ إِلَى اللَّهِ وَقَرَأَ عَلَيْهِمُ الْقُرْآنَ…

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW menunggang seekor keldai yang mana di bawahnya ada kain dari fadak (sejenis kain yang elok) dan Baginda memboncengkan Usamah di belakangnya untuk menziarahi Sa’ad Bin Ubadah di perkampungan Bani al-Harith Bin Khazraj. Ini berlaku sebelum peperangan Badar. (Di tengah perjalanan) Baginda melewati suatu majlis yang bercampur antara orang-orang Islam dan orang-orang musyrikin, penyembah berhala dan orang-orang Yahudi. Di kalangan mereka terdapat ‘Abdullah Bin Ubay. Majlis itu juga dihadiri oleh ‘Abdullah Bin Rawahah. Ketika melihat debu bekas dekap langkah kami, maka ‘Abdullah Bin Ubay menutup hidungnya dengan kainnya sambal berkata: “Janganlah kalian bangkitkan debu sehingga mengenai kami”. Maka Nabi SAW memberi salam kepada mereka, kemudian berhenti dan turun dari keldai. Baginda SAW mengajak mereka kepada Allah dengan membacakan ayat-ayat al-Quran kepada mereka…”[13]

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sekiranya dalam satu kumpulan atau majlis itu terdiri daripada orang-orang Islam dan bukan Islam, maka harus memulakan untuk memberi salam kepada kumpulan tersebut dengan niat untuk memberi salam kepada orang-orang Islam.[14]

Imam al-Mawardi dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir, menyebut:

Harus dan dibolehkan memberi salam kepada bukan Islam kerana ucapan salam adalah adab dan sunnah. Justeru, sudah tentu orang Islam lebih dituntut untuk melakukannya. Namun, orang Islam hanya perlu menyebut: “Assalamu‘alaika” dengan lafaz tunggal dan jangan menyebut dengan lafaz jama’ “Assalamu ‘alaikum” sepertimana ucapan kepada orang Islam yang lain bagi membezakan orang Islam dan bukan Islam.
Dilarang memberi salam kepada bukan Islam sehingga mereka (bukan Islam) yang memulakan terlebih dahulu. Ini berdasarkan kepada hadith Nabi SAW berikut:
إِنِّي رَاكِبٌ غَدًا إِلَى يَهُودَ، فَلاَ تَبْدَأُوهُمْ بِالسَّلاَمِ، فَإِذَا سَلَّمُوا عَلَيْكُمْ فَقُولُوا‏:‏ وَعَلَيْكُمْ‏

Maksudnya: “Sesungguhnya aku akan pergi kepada Yahudi esok. Janganlah kamu memulai memberi salam kepada orang Yahudi. Namun sekiranya mereka memulai memberi salam, maka katakanlah: Wa ‘alaikum.”[15]

Sememangnya Rasulullah SAW adalah qudwah dan uswah terbaik yang wajib dicontohi oleh setiap yang mengaku sebagai Islam. Baginda SAW telah menunjukkan cara serta kaedah yang jelas tentang kehidupan masyarakat majmuk (ta’ayush). Dengan mencontohi perbuatan serta amalan yang diajarkan oleh Baginda Nabi SAW, sudah tentu akan menghasilkan suatu suasana kehidupan yang aman dan damai di antara orang-orang Islam dan orang-orang bukan Islam.

Dengan itu maka akan terhasillah bentuk negara yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:

بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

Maksudnya: “(Negeri kamu ini adalah) Negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!.”[16]

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami cenderung mengatakan bahawa dilarang untuk memberikan ucapan salam kepada bukan Islam.
Namun begitu, sekiranya terdapat kelompok yang terdiri daripada orang-orang Islam dan bukan Islam, maka hukumnya adalah harus dan dibolehkan berdasarkan kepada perbuatan Nabi SAW yang dinyatakan di atas. Adapun begitu, niat asal pemberi salam tersebut mestilah ditujukan kepada orang-orang Islam yang berada dalam kolompok tersebut.
Wallahu a’lam.

Sumber: Maktabah al-Bakri

Sumber:SiakapKeli

Sudah Baca Jangan Lupa Like & Share Yaa.. Terimakasih..

Jom join group Ceramah Apa Hari Ini (CAHI) , Sama2 Kita Mencari Serta Berkongsi Ilmu… insyaAllah bermanfaat disana.. TQ
Ingin Sertai –> Klik Di Sini