Hanya Berlaukan Daun Bawang Goreng Dengan Garam Untuk Berbuka Puasa, Nasib Seorang lbu Tunggal

Sik: “Saya pernah berbuka puasa makan nasi berlauk daun bawang goreng yang digaul garam kerana pendapatan hasil menoreh getah tidak seberapa,” kata ibu tunggal, Faridah Wahab.

Faridah, 61, yang juga ibu kepada dua anak itu berkata, hidangan itu kebiasaannya menjadi juadah berbuka puasa keluarganya selepas dia tidak dapat keluar menoreh getah akibat hujan.

Katanya, harga getah sekerap yang terlalu murah iaitu kira-kira RM3 sekilogram ketika ini menyebabkan dia terpaksa bertahan dengan makan apa yang ada di sekeliling rumahnya.

“Kebun getah saya terletak jauh di atas bukit, setiap hari saya perlu menunggang motosikal kira-kira 30 minit untuk sampai ke kebun. Tetapi keadaan cuaca tidak menentu, jika hujan memang tak dapat langsung menoreh.

“Sepanjang Ramadan ini, saya baharu dua hari dapat menoreh dengan pendapatan kira-kira RM45.

“Untuk tambah lauk berbuka, saya turut menjala ikan di sungai berdekatan rumah jika airnya tidak terlalu dalam. Jika gagal menangkap ikan, saya berbuka puasa dengan makan apa sahaja yang ada,” katanya yang tinggal di Kampung Lintang, Belantik di sini.

Faridah yang menoreh getah sejak berusia 14 tahun berkata, setiap bulan dia hanya mampu meraih hasil jualan getah sebanyak kira-kira RM200, namun jika hujan berterusan, pendapatannya berkurangan.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kerana mendapat bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ia diguna bagi membayar bil elektrik serta bahan makanan asas lain.

“Ketika masih muda, saya dan arwah suami mampu melakukan pelbagai kerja sampingan termasuk mencari hasil hutan seperti kayu gaharu, rotan dan ikan di Empangan Gubir.

“Sekarang, semuanya bergantung kepada hasil getah. Kerana itu saya berharap kerajaan dapat bantu naikkan harga getah kepada RM4 sekilogram agar kehidupan kami berubah kerana turut terbeban dengan harga barang,” katanya yang kematian suami dua tahun lalu.

Seorang lagi penoreh getah, Sabri Jali, 54, berkata, lauk ikan masin sudah menjadi hidangan biasa dalam hidup mereka sekeluarga termasuk ketika Ramadan.

“Sepanjang musim hujan, saya terpaksa berhutang dengan peniaga getah sekerap untuk membeli barangan keperluan kerana saya hanya mengambil upah menoreh di kebun orang dan hasilnya perlu dibahagi dua.

“Saya harap kerajaan boleh lakukan sesuatu untuk bantu penoreh getah kerana harga getah tidak pernah stabil,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Bagi Siti Khadijah Saud, 26, dia turut mengambil upah menoreh getah bersama suaminya Mohd Amirul Azhar, 27, untuk menyara dua anak mereka yang berusia dua dan enam tahun.

“Pendapatan saya dan suami hanya kira-kira RM300 sebulan. Anak saya sebelum ini pernah minum susu pekat manis kerana kami terputus wang dan jika gas memasak habis, saya terpaksa guna kayu api untuk memasak.

“Saya turut menghidap kencing manis dan perlukan insulin setiap hari selain menjalani pemeriksaan di hospital. Kerana itu, kami memang tidak mampu membuat persiapan menyambut Aidilfitri sejak dahulu lagi,” katanya.

‘Beginilah nasib kami’

KETIKA kebanyakan orang masih dibuai mimpi, seorang warga emas di Kampung Lontik Maralamin, Topokon, kira-kira 10 kilometer dari Tuaran sudah bergerak ke kebun getah bersebelahan rumahnya untuk menoreh.

Itu rutin harian Tinggalan Komunta, 82, sejak kira-kira setengah abad lalu untuk mencari rezeki dengan `menghadap’ pokok getah meskipun harga komoditi itu tidak menentu dan berada pada tahap rendah ketika ini.

“Jam 1 pagi saya mula menoreh dan selesai kira-kira jam 3 pagi sebelum disambung kerja mengutip susu getah bermula jam 4 hingga 5 pagi. Selepas itu saya memproses susu getah menjadi kepingan dan siap sepenuhnya pada jam 7 pagi.

“Kalau diikutkan dengan harga getah yang sangat rendah sekarang ini, apa yang saya buat nampak macam tidak berbaloi tetapi saya terpaksa terima kerana ini saja sumber rezeki saya,” katanya ditemui di kebun getahnya.

Tinggalan melakukan rutin hariannya sebagai penoreh getah. FOTO Khairull Azry Bidin Tinggalan melakukan rutin hariannya sebagai penoreh getah. FOTO Khairull Azry Bidin
Setiap hari, kecuali hujan, Tinggalan menoreh kira-kira 200 pokok getah di kawasan tanah berbukit seluas 1.2 hektar dan memperoleh dua kepingan getah dengan berat basah kira-kira 10 kilogram sekeping atau enam hingga tujuh kilogram sekeping apabila kering.

Katanya, berdasarkan harga runcit semasa komoditi itu yang ditetapkan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) iaitu purata RM2 sekilogram bagi kepingan gred satu dan RM1.80 sekilogram bagi kepingan gred dua, dia hanya mampu memperoleh kira-kira RM400 sebulan.

Jumlah itu, katanya, adalah hasil jualan kira-kira 200 kilogram getah kepingan, namun hasil yang boleh diperoleh merosot jika musim hujan kerana banyak hari tidak dapat menoreh disebabkan laluan licin atau pokok basah.

“Pendapatan RM400 hasil menoreh getah memang tidak mencukupi memandangkan harga barang sekarang ini semakin mahal. Cuma saya bernasib baik kerana hanya menyara diri sendiri, anak-anak lapan orang semua sudah besar, ada keluarga dan kebun getah sendiri,” katanya.

Tinggalan berkata, harga getah yang ditetapkan LIGS ketika ini juga tidak menentu, sering berlaku turun naik antara lima hingga 15 sen, berbeza kira-kira 10 tahun lalu ketika harga komoditi itu pernah mencapai RM9 sekilogram dengan purata turun naik harga antara RM1 hingga RM2.

Ketika itu, katanya, pendapatannya sebagai penoreh getah sangat lumayan dengan hasil boleh mencecah hingga RM4,000 sebulan.

Sementara itu, anaknya, Dosimon, 56, yang memiliki kebun getah seluas kira-kira 1.2 hektar, berkata walaupun kerajaan negeri ada memberi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) iaitu 35 sen bagi setiap kilogram jualan getah ketika ini, ia tidak memadai.

Dengan insentif itu, katanya, mereka hanya memperoleh RM35 bagi setiap 100 kilogram getah atau kira-kira RM70 sebulan berdasarkan hasil jualan 200 kilogram getah kepingan.

Dosimon berkata, musim kemarau selain ketibaan musim daun getah gugur menambahkan lagi kesukaran penoreh getah kerana menjejaskan pengeluaran lateks atau susu getah.

“Bagaimanapun, saya hanya menjadikan menoreh getah sebagai aktiviti sambilan. Kebiasaannya saya melakukan kerja kontrak sebagai pemandu jentera pengorek tetapi ketika kontraktor yang selalu memanggil saya tiada projek saya beralih menoreh getah,” katanya.

Seorang lagi penoreh getah, Nancy Mangatas, 47, berkata dia terpaksa melakukan kerja lain untuk menampung perbelanjaan keluarga disebabkan harga getah yang sangat rendah ketika ini.

Katanya, dia kini menanam lada hitam dan membiakkan bibitnya untuk dijual kepada petani yang berminat di sekitar kampung atau tamu mingguan di Tuaran dan Tamparuli, di sini dengan harga RM10 setiap satu polibeg.

“Ramai juga yang berhenti menoreh selepas harga getah jatuh dan terpaksa mencari kerja lain seperti di pasar raya di pekan Tuaran, kilang-kilang atau berniaga sendiri. Hanya yang tidak berminat melakukan kerja lain terus bertahan menoreh getah,” katanya.

INFO – Harga runcit getah di Sabah (RM/kg) 22 Januari 2019

* RM3.60 – lateks / susu getah

* RM2.15 – kepingan gred 1

* RM1.80 – kepingan gred 2

* RM2.00 – kentalan gred 1

* RM1.70 – kentalan gre

Sumber:Hmetro

Jom join group Ceramah Apa Hari Ini (CAHI) , Sama2 Kita Mencari Serta Berkongsi Ilmu… insyaAllah bermanfaat disana.. TQ
Ingin Sertai –> Klik Di Sini