Harus Hukumnya Beri Makan Kepada Anjing Lapar

Harus Hukumnya Beri Makan Kepada Anjing Lapar

Apa sahaja perbuatan yang membawa kebaikan amatlah dituntut dalam agama Islam. Tidak kiralah waima sesama adik beradik, jiran, rakan dan saudara seagama yang lain.

Namun begitu, bukan kita sahaja yang menumpang teduh di atas muka bumi ciptaan ALLAH SWT. Bahkan, kita berkongsi bumi yang sama dengan makhluk yang lain seperti haiwan dan tumbuhan.

Justeru, wajar untuk kita berbuat ihsan sesama hidupan yang juga ciptaan ALLAH SWT yang lain.

Bercerita bab berbuat ihsan, Admin menerima persoalan daripada netizen tentang perbuatan beliau memberi anjing jirannya makan. Ini kerana pada masa itu, jirannya ada hal kecemasan dan haiwan itu pula dilihat dalam keadaan lapar.

Malangnya, niatnya berbuat ihsan terhadap haiwan itu mendapat teguran daripada jiran Islam yang lain.

Ketika kemusykilan itu dilontarkan kepada pendakwah Nor Zahirah Mohd Johari atau dikenali sebagai Da’i Zahirah, beliau memberikan pencerahan tentang hukum memberi makanan dan minuman kepada anjing.

Ujar beliau, sebenarnya, harus hukumnya jika kita berbuat demikian.

“Pun begitu, haram bagi kita untuk menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan di rumah.

“Dalam sebuah hadis masyhur riwayat al-Bukhari, ada dinyatakan cerita berkaitan seorang wanita penzina mendapat keampunan daripada ALLAH SWT selepas memberi minum anjing yang sedang kehausan.

“Asbab daripada perbuatan wanita tadi, maka ALLAH mengampunkan dosa wanita tersebut,” ujar beliau.

Sebagai umat Islam, Da’i Zahirah menambah, sewajarnya kita perlu tanamkan sifat ihsan dalam diri tidak kiralah sesama makhluk waima haiwan dan tumbuhan.

“Ini kerana kita berpijak di atas bumi ALLAH yang sama.

Beri anjing makan

“Justeru, suka saya ingatkan, sebelum menegur seseorang, pastikan teguran yang dibuat itu adalah betul. Bukan apa, takut-takut asbab daripada teguran kita tadi, kita menjadi penghalang kepada orang lain untuk melakukan kebaikan,” nasihatnya.

Justeru, berhati-hatilah apabila membuat teguran. Pastikan apa yang kita tegur itu adalah perkara yang betul.

Sumber : SinarPlus