Ebit Lew ‘Borong’ Periuk Bazar Ramadan, Jamu Gelandangan Makan Nasi Briyani Untuk Berbuka

Ebit Lew ‘Borong’ Periuk Bazar Ramadan, Jamu Gelandangan Makan Nasi Briyani Untuk Berbuka |

Pendakwah terkenal, Ebit Lew bermurah hati memborong nasi beriani dan tomato untuk 300 orang gelandangan bagi berbuka puasa di sekitar ibu negara di sini semalam.

Menurut laman Facebooknya, Ebit Lew telah memborong makanan tersebut di beberapa gerai sebelum membawanya ke kawasan gelandangan di sekitar ibu negara untuk diagihkan sebelum waktu berbuka.

Selepas pulang dari menyertai misi kemanusiaan di Afrika Selatan, pendakwah bebas iaitu Ebit Lew kini turun padang untuk membantu gelandangan dan mereka yang kurang bernasib baik di bandar Kuala Lumpur. Pendakwah bebas itu turut meluahkan rasa sebak berdepan dengan gelandangan yang kurang berkemampuan membeli juadah makanan untuk berbuka puasa.

“Paling terharu bila saya mula menyiapkan makanan untuk diagihkan, semua sudah beratur dan barisan makin ramai saya hanya mampu berdoa agar makanan mencukupi. Bila tengok ada anak-anak kecil ceria lagi buat hati ini semakin sayu.

“Nasib setiap orang berbeza namun saya rasa bersyukur dan melihat mereka buat rasa tenang bahagia. Rata-rata mereka bertanyakan khabar dan mengucapkan terima kasih yang membuatkan sebahagiannya hati saya rasa kecil kerana cara mereka menghargai makanan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, makanan yang disediakan untuk 300 orang tersebut habis tidak sampai 40 minit dan semua gelandangan tanpa mengira bangsa atau agama dapat menikmati juadah tersebut selepas waktu berbuka.

“Dahulu, saya sering tidur di masjid, kadang-kadang tumpang makan sekiranya ada jamuan. Saya selalu lapar masa duduk di Kuala Lumpur untuk mencari kerja sebab duit semua hantar ke kampung. Ujian kan.

“Kumpulan saya gembira kerana dapat berbuka bersama golongan gelandangan dan orang susah di jalanan. Melihat sebahagian mereka makan di atas lantai dan di tepi jalan mebuatkan hati bertambah sayu. Semoga menjadi asbab kebaikan dan kenangan terindah buat kami,” ujarnya.

Posting Ebit Lew di Facebook dan Instagram

Perkongsian tersebut dimuat naik melalui akaun Instagram dan Facebook rasmi Ebit Lew menyaksikan dia memberi makanan berbuka puasa kepada mereka yang tinggal di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur. Pengedaran makanan tersebut juga diberikan kepada semua orang tanpa mengira bangsa mahupun agama.

Belum hilang rasa sebak sayu di Pasar Ramadhan. Berdoa untuk mereka. Saya borong di beberapa gerai. Nasi beriyani dan tomato untuk 300 orang. Periuk panas-panas terus saya bawa ke kawasan gelandangan atau jalanan bagi buka puasa. Saya beri dikawasan bilik sewa mereka. Sesetengah mereka menyewa bilik di kawasan ini. Bilik kecil dengan keluarga ramai tandas diluar. Saya jamu semua tanpa mengira bangsa atau agama.

Paling terharu bila mula buka belakang hilux dan senduk buat mereka. Semua beratur. Barisan makin ramai. Doa makanan cukup sebab barisan panjang. Lama saya tak kesini. Bila tengok anak-anak kecil ceria lagi buat hati sayu. Nasib berbeza bagi setiap orang. Tapi rasa syukur buat rasa tenang bahagia. Semua kenal saya. Panggil ustaz apa khabar dan ucap terima kasih. Dengar terima kasih sebahagiannya buat hati saya rasa kecil jer sebab cara mereka hargai makanan. Tapi bersungguh cakap terima kasih.

Ada yang minta dua. Tunjuk isterinya berkerusi roda sakit. Boleh ker ustaz. Boleh abang. Ada yang bawa 5 anak kecil. Untuk semua anak boleh ke ustaz. Boleh kakak. Cukup untuk semua. Allah bagi cukup. Gembira sebab ayam-ayam semua ketul besar. Puas rasa makan panas-panas semuanya. Biasa saya beri dalam bekas tak sama dari periuk begini.
Tak sampai 40 minit habis 300 nasi dan lauk saya senduk dan masuk Maghrib. Sekejap jer. Terasa puas makanan habis dan ngam jer.

Dulu saya tidur masjid. Kadang tumpang makan jika ada jamuan begini. Selalu lapar masa duduk kl cari kerja. Duit semua hantar dekat kampung. Ujian kan..
Team saya semua gembira puasa kedua dapat berbuka bersama mereka gelandangan dan orang susah di jalanan. Melihat sebahagian makan atas lantai tepi jalan lagi sayu rasa. Anak kecil makan jer dekat tepi tu sebab dah nak azan. Semoga menjadi asbab kebaikan dan kenangan terindah buat kami.