Ramai Yang Tak Tahu Kelebihan Menyimpan Tali Pus4t Bayl, Tetapi Bolehkah Bagi 0rang yang Beragama Islam?

Tali pusat berfungsi sebagai talian hayat ketika mengandung antara ibu dan juga bayi. Namun, tahukah anda darah di dalam tali pusat ini juga mampu menyelamatkan nyawa bayi ketika dalam proses pembesaran mereka?

Menurut StemLife, darah tali pusat adalah darah yang tertinggal di dalam tali pusat dan uri selepas kelahiran. Selepas bayi dilahirkan, darah tali pusat boleh disimpan kerana ia mengandungi sel-sel stem yang bernilai yang mungkin boleh digunakan untuk merawat pelbagai masalah kesihatan.

Tetapi bagi mereka yang beragama Islam, adakah dibolehkan dan hukumnya memotong dan menyimpan tali pusat bayi selepas lahir? Ikuti perkongsian Hello Doktor di bawah ini untuk mengetahui lebih lanjut.

Menyimpan darah tali pusat bayi?
Jika dahulu selepas melahirkan anak, tali pusat mereka biasanya akan ditanam tetapi sekarang terdapat pilihan lain, iaitu dengan menyimpannya.

Simpanan darah tali pusat adalah proses mengumpulkan sel-sel stem berpotensi menyelamatkan nyawa daripada tali pusat serta plasenta dan disimpan untuk kegunaan masa depan.

Sel stem adalah sel induk badan belum matang kerana ia mempunyai kebolehan unik untuk replikasi dan mengkhusus menjadi sel jenis lain di dalam badan.

Darah tali pusat adalah sumber yang kaya dengan sel stem hematopoetik HSC. Ia bertanggungjawab menjana semula darah dan sel sistem imun dalam badan.

Jom kita fahami lebih lanjut mengenai proses serta manfaat menyimpan darah tali pusat bayi ini.

Manfaat penyimpanan darah tali pusat bayi
Seperti yang dinyatakan tadi, tali pusat mengandungi jumlah sel stem yang banyak. Ia boleh merawat barah dan penyakit darah seperti anemia.

Di samping itu, sel stem ini juga dapat merawat beberapa masalah kesihatan berkaitan sistem imunisasi yang menjejaskan kemampuan tubuh mempertahankan dan melindungi diri.

Sel stem ini akan berkembang menjadi sel darah matang, termasuklah:

-Sel darah merah
-Sel darah putih
-Platelet

Sel stem dianggap sebagai rawatan penting untuk pelbagai jenis penyakit. Antaranya seperti barah, gangguan darah dan penyakit genetik metabolik.

Cecair daripada tali pusat ini mudah dikumpulkan dan mempunyai lebih 10 kali ganda lebih banyak sel induk berbanding yang terdapat di dalam sumsum tulang.

Sel stem daripada darah tali pusat bayi jarang membawa penyakit berjangkit dan risiko kebarangkalian untuk ditolak sel induk dewasa adalah rendah.

Tapi bagaimana pula bagi mereka yang beragama Islam? Apakah hukumnya memotong dan menyimpan tali pusat bayi selepas lahir?

Berdasarkan carian penulis dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dapat disimpulkan seperti yang di bawah:

Makruh hukumnya menyimpan tali pusat bayi jika tanpa tujuan atau sebagai kenangan
Harus sekiranya bagi tujuan perubatan terbukti oleh pakar perubatan, seperti kaedah rawatan stem cell (sel induk) yang boleh digunakan untuk merawat penyakit leukemia, thalassemia dan seumpamanya
Haram jika disimpan atas tujuan kepercayaan dan khurafat yang tidak ada sandarannya di dalam Islam
Pengambilan tali pusat semasa melahirkan anak
Biasanya tali pusat dan plasenta akan dibuang selepas melahirkan anak, betul tak?

Namun sekiranya anda memilih untuk menyimpan darah tali pusat bayi, pasukan kakitangan perubatan akan melakukannya setelah bayi dilahirkan.

Dengan jarum yang disteril, darah akan ditarik keluar daripada tali pusat ke dalam beg pengumpulan dan dihantar ke bank penyimpanan jangka panjang.

Bank penyimpanan darah tali pusat
Dua jenis bank yang menyimpan darah tali pusat adalah:

Bank awam
Menyimpan darah tali pusat yang diderma untuk kegunaan awam atau penyelidikan. Apabila didermakan, ia tidak akan disimpan untuk kegunaan peribadi keluarga anda.

Tiada bayaran akan dikenakan.

Di Malaysia, Pusat Darah Negara menubuhkan Bank Darah Tali Pusat pada 2002, yang menyimpan darah tali pusat untuk kegunaan awam.

Bank swasta
Simpanan dalam bank swasta ini adalah untuk kegunaan peribadi keluarga dan ada bayaran yang dikenakan.

Kos penyimpanan jangka panjang bergantung kepada pakej yang anda ambil. Ia bermula daripada serendah sekitar RM280 sebulan dan ke atas.

Antara contoh bank darah swasta di Malaysia adalah StemLife Bhd atau CryoCord.

Jenis penyakit yang boleh dirawat
Sel induk sudah digunakan dalam merawat lebih daripada 70 penyakit – limfoma, anemia sel sabit, kekurangan imun dan penyakit metabolik.

Secara amnya, berikut antara beberapa penyakit yang boleh dirawat menggunakan darah tali pusat bayi ini:

Gangguan darah
Anemia Aplastik (teruk).
Beta Thalassemia Major.
Myelofibrosis akut.
Polycythemia Vera.
Penyakit sel sabit.

Kanser
Limfoma Hodgkin.
Limfoma bukan Hodgkin.
Tumor Wilms.
Myeloma berganda.
Neuroblastoma.

Darah tali pusat bayi boleh merawat:
Gangguan imun
Neutropenia kongenital.
Sindrom DiGeorge.
Sindrom Evans.

Penyakit Granulomatous Kronik.
Fucosidosis.
Gangguan metabolik
Penyakit Gaucher.

Sindrom Hunter (MPS-II).
Penyakit Krabbe.
Mannosidosis.
Penyakit Sandhoff.

Perkara penting berkaitan penyimpanan darah tali pusat bayi
Doktor biasanya tidak mengesyorkan penyimpanan darah tali pusat. Ini kerana jika bayi anda memerlukan sel stem, dia mungkin harus mendapatkan sel stem individu lain dan bukan sel induknya sendiri.

Namun, jika terdapat ahli keluarga yang mempunyai masalah kesihatan seperti leukemia, penyakit sel sabit, limfoma Hodgkin atau talasemia, mungkin anda disarankan untuk melakukan penyimpanan ini.

Sekiranya berminat untuk menyimpan sel stem ini, anda perlu menguruskannya lebih awal dan ia bukanlah perkara yang boleh dilakukan pada saat-saat akhir.

Paling penting, pengumpulan darah tali pusat ini tidak akan menyebabkan kesakitan.

Sumber:SiakapKeli

Jom join group Ceramah Apa Hari Ini (CAHI) , Sama2 Kita Mencari Serta Berkongsi Ilmu… insyaAllah bermanfaat disana.. TQ
Ingin Sertai –> Klik Di Sini