Pelajar Cemerlang lnspirasi lrdina Shahriman “Berada Dalam Kedudukan Pertama Dengan CGPA 4.0 Di Virginia Tech”

Irdina Shahriman Duduki Ranking No.1
CYBERJAYA: Seorang pelajar Malaysia, Irdina Shahriman mencipta sejarah yang membanggakan negara apabila berjaya memperoleh keputusan cemerlang sekaligus menduduki tempat pertama dalam kalangan hampir 10,000 pelajar di Virginia Tech (VT), Amerika Syarikat.

Irdina Shahriman yang mengikuti Program Pertukaran Sarjana Muda Amerika (ADTP) Yayasan Tenaga Nasional, mencapai purata mata gred kumulatif (CGPA) 4.0 secara konsisten di dalam Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Elektrik dari 2018 hingga 2021.

Malah lebih membanggakan, Irdina yang berusia 24 tahun telah dianugerahkan pingat Phi Kappa Phi untuk Kolej Kejuruteraan, anugerah yang diberikan kepada graduan senior dengan pencapaian akademik tertinggi.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, turut merakamkan ucapan tahniah kepada penerima biasiswa Yayasan Tenaga Nasional tersebut di atas kejayaannya mengharumkan nama negara.

Memetik laporan The Star, Irdina yang menamatkan pengajian pada Disember tahun lalu berkata, sikap tabah dan percaya pada diri telah membantunya mengatasi rasa takut mencuba dan melakukan kesilapan.

”Saya bukan seorang ‘genius’ secara semula jadi, jadi saya bekerja keras. Saya tidak ponteng kelas, saya mengambil nota dengan tekun, dan yang lebih penting, saya mengambil inisiatif untuk berhubung dengan profesor dan rakan sekelas saya, yang benar-benar meningkatkan pemahaman saya tentang subjek itu,” katanya kepada StarEdu.

”Hayati proses pembelajaran; itulah yang paling penting,” tegasnya sambil menambah, ”Sentiasa tetapkan niat anda dengan betul dan terjemahkannya ke dalam tindakan.”

Jelas beliau, sikap tabah membolehkannya mengharungi perjalanan penuh liku untuk membiasakan diri dengan sistem pendidikan di Amerika Syarikat

”Mereka memberi banyak penekanan untuk menyatakan pandangan anda, menjadi lebih kreatif, dan berfikir di luar daripada apa yang diajar.

”Sebagai contoh, ada ketika saya dimaklumkan bahawa tiada format untuk laporan makmal dan ia perlu ditulis mengikut kesesuaian saya.

”Sebagai seseorang yang sentiasa bekerja dalam persekitaran yang tersusun, itu mendorong saya keluar dari zon selesa saya,” katanya kepada StarEdu.

Tambah beliau, sistem akademik di Amerika Syarikat memerlukan pelajar untuk konsisten dalam belajar kerana kebiasaannya mempunyai peperiksaan dua kali seminggu sepanjang semester.

”Beberapa hari, saya terpaksa batalkan rancangan untuk keluar dengan rakan-rakan atau menonton filem terkini.

”Hari hujung minggu dan hari bekerja tidak ada beza bagi saya. Masa saya dihabiskan untuk mengejar tugasan dan belajar untuk peperiksaan.

“Berlengah-lengah tidak mempunyai tempat dalam kamus saya,” kongsinya kepada StarEdu.

Pelajar itu juga berkata mengingatkan diri tentang tujuannya telah membolehkan dia menyesuaikan diri dengan persekitaran yang didominasi lelaki di fakulti tersebut.

”Sepanjang saya di VT, saya tidak pernah mempunyai ahli kumpulan perempuan dalam projek kumpulan saya, yang kadang-kadang menakutkan saya,” katanya kepada StarEdu.

Walaupun pelajaran adalah keutamaan, Irdina juga meluangkan masa untuk beberapa aktiviti kokurikulum dan mengakui kepentingan menjaga diri.

”Saya sangat percaya bahawa mengekalkan kesihatan fizikal dan mental yang baik membantu seseorang menjadi lebih produktif,” katanya.

Irdina turut berkongsi mengenai gaya hidupnya di VT yang terdiri daripada tidur lapan jam sehari, bersenam, dan makan makanan yang dimasak di rumah.

Difahamkan, Setelah pulang ke Malaysia, Irdina yang berasal dari Subang Jaya, Selangor kini sedang menunggu penempatan di Tenaga Nasional Berhad, lapor The Star.

Sumber:MyMediaMaya

Jom join group Ceramah Apa Hari Ini (CAHI) , Sama2 Kita Mencari Serta Berkongsi Ilmu… insyaAllah bermanfaat disana.. TQ
Ingin Sertai –> Klik Di Sini