Inilah Rahsia Mengapa Air Zamzam Tidak Pernah Kering Lebih Berpuluh Abad

Bagaimana Air Zamzam Tak Pernah Kering Walaupun Setelah Ribuan Tahun

Air Zamzam merupakan air yang didatangi dari telaga di kawasan Masjidil Haram, Makkah, Arab Saudi. Pada kebiasaannya, umat Islam yang tunaikan Haji dan Umrah akan melawat telaga Zamzam dan membawa air Zamzam pulang ke negara asal untuk disedekah atau disimpan sebagai bekalan minuman.

Kalau anda nak tahu, telaga Zamzam sebenarnya terletak hanya 11 meter dari Kaabah. Pada zaman sekarang, telaga Zamzam berada di ruang bawah tanah yang dapat dilihat menerusi panel kaca. Menurut satu kenyataan, telaga Zamzam menyedut sebanyak 18.5 liter air sesaat sehingga ia mampu menghasilkan 660 liter air per minit. Wow, banyak tu!

Dalam bahasa Arab, zamzam bermaksud “banyak” atau “limpahan”. Pengertian ini sesuai dengan keadaan air Zamzam yang tidak pernah kering walaupun telah digunakan selama ribuan tahun sejak zaman Nabi Ismail masih kecil. Mengikut sejarah, air Zamzam pertama kali keluar berpunca dari Nabi Ismail yang menangis kehausan di padang pasir bersama ibunya, Hajar.

Dokumen sejarah menunjukkan bahawa kejadian itu pertama kali berlaku adalah pada 4,000 tahun yang lalu dan kini ia menimbulkan pelbagai persoalan kepada orang awam, terutamanya bagaimana air Zamzam tidak pernah kering selama ribuan tahun.

Dilaporkan dari Egypt Today, Abbas Sharaqi, Profesor Geologi dan Sumber Air di Institut Penyelidikan Afrika, menyatakan bahawa air di telaga Zamzam tidak pernah kering kerana dihubungkan dengan air bawah tanah yang boleh diperbaharui.

Profesor Sharaqi menjelaskan bahawa air Zamzam adalah air yang boleh diperbaharui kerana sumbernya adalah air hujan di Kota Makkah. Makkah adalah kawasan pergunungan dan salah satu lembah yang terdapat di sana mempunyai kemampuan untuk menampung air Zamzam di dataran rendah.

Katanya, terdapat endapan sungai sepanjang 14 meter yang terbentuk dari air hujan di pergunungan yang jatuh ke dataran rendah dan berubah menjadi sedimen. Proses ini memerlukan jutaan tahun untuk membuat telaga Zamzam yang panjangnya hingga 14 meter.

Tambah beliau lagi, di bahagian paling bawah terdapat batu yang membentuk kedalaman telaga Zamzam mencapai 35 meter. “Air di telaga Zamzam digunakan sebagai air minum untuk jemaah dan tidak digunakan untuk pertanian,” katanya.

“Telaga Zamzam telah digunakan selama 4,000 tahun, ini membuat kita berpikir bahawa jika tidak ada hujan di Arab Saudi, mungkin air akan habis. Namun, memandangkan keadaan iklim yang stabil dan tidak berubah, telaga mampu untuk terus ada, ”tambah Profesor Sharaqi.