Siapa Sangka, Suami Yang Dahulu Malu Untuk Jadi Imam Kini Sudah Berubah Selepas Wanita Ini Beri Semangat

Siapa Sangka, Suami Yang Dahulu Malu Untuk Jadi Imam Kini Sudah Berubah Selepas Wanita Ini Beri Semangat | Sesebuah rumah tangga menjadi lebih harmoni sekiranya tidak memandang rendah terhadap kemampuan pasangan, sebaliknya perlu saling memberi semangat antara satu sama lain.

Baru-baru ini, seorang wanita berkongsi rasa terharu apabila dapat menunaikan solat jemaah bersama suaminya di sebuah kafe yang diusahakan oleh mereka berdua.

Menerusi perkongsian di platform TikTok, video dimuat naik oleh Najihah Mat Zin itu memaparkan suaminya Hasnur Noh sedang memeriksa telefon bimbit untuk membacakan doa selepas mereka selesai berjemaah.

Bercerita lanjut, sebelum ini suaminya itu gemar mengelakkan diri untuk menjadi imam dan solat berjemaah atas alasan tidak tahu membaca doa-doa tertentu bagi menyempurnakan ibadah tersebut.

Bagaimanapun, wanita yang menetap di Parit Buntar, Perak itu tidak memandang rendah terhadap pengetahuan dimiliki suami sebaliknya terus memberikan semangat serta kata-kata motivasi dalam menuntut ilmu agama.

Siapa sangka, kini suaminya itu tidak lagi segan silu bagi menjadi imam selepas mengambil masa dengan mempelajari dan menghafal pelbagai doa untuk menjayakan solat berjemaah.

Rakaman video tersebut meraih 152,600 tontonan serta 14,800 tanda suka selain ratusan komen warganet yang bersyukur melihat perubahan suaminya dalam usaha menjadi ‘imam’ terbaik dalam keluarga.

Sumber: TikTok @najihahmatzin