Wanita Menghadap Ilahi Ketika Sujud, Semoga Husnul Khatimah

Wanita Menghadap Ilahi Ketika Sujud, Semoga Husnul Khatimah | Husnul khatimah, jemaah wanita pergi mengadap Ilahi ketika sujud

Kematian adalah satu ketentuan Allah SWT. Setiap manusia pasti akan mengalami kematian. Tetapi, bila, bagaimana, dan dimana itu hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Apabila seseorang sudah tiba ajalnya, maka tidak dapat lagi diundurkan atau dipercepatkan walaupun sesaat, kerana itulah ketentuan Allah.

Begitu juga dengan satu rakaman viral baru-baru ini, memaparkan seorang jemaah wanita yang ketika sedang mendirikan solat di surau, secara tiba-tiba rebah.

Rebah ketika sujud

Dapat diperhatikan, arwah yang dikatakan sedang melakukan solat sunat sebelum memulakan solat berjemaah, namun semasa sujud arwah terus tidak sedarkan diri.

Melihatkan keadaan arwah, kesemua jemaah yang lain berasa terkejut dan terus berlari meluru ke arwah untuk memberikan bantuan.

Sungguh besar nikmat yang Tuhan berikan kepada arwah, dia meninggal dalam keadaan sedang beribadat, menutup aurat dan di dalam masjid.

Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang beriman, Marilah kita sama-sama memohon kepada Allah SWT supaya mengurniakan kepada kita kematian dalam khusnul khatimah.

Di dalam kehidupan kita sering diingatkan supaya tidak mudah berputus asa dan bergantung penuh pengharapan terhadap Allah SWT sehingga tiba saatnya kita kembali bertemu dengan-Nya.

Walaupun setiap manusia menemui kematian dengan pelbagai cara, namun Allah menetapkan manusia akan menemui ajalnya dengan dua cara sahaja iaitu husnul khatimah dan suul khatimah.

Maksud Husnul Khatimah

Kematian husnul khatimah bermaksud kematian yang penyudahnya baik atau kesudahan yang terbaik dalam hidup kita.

Ertinya mati di dalam keredhaan Allah dan kita juga redha dengan ketentuan Allah. Manakala suul khatimah iaitu kematian yang menakutkan dan menggerunkan.

Maksud Suul Khatimah

Keadaan kematian suul khatimah ketika mana seseorang itu mati di dalam keadaan mereka tidak bersedia kembali menemui Allah.

Utusan dari Malaikat Maut (TANDA-TANDA KEMATIAN)

Imam Qurtubi rahimallah menyebut, pernah suatu ketika Rasulullah SAW bertanya kepada malaikat maut, “Apakah kamu mempunyai utusan yang mengingatkan manusia supaya berhati-hati dengan kamu wahai malaikat maut?”.

Lalu malaikat menjawab, “Ya, demi Allah kami mempunyai utusan yang sangat banyak, kecuali bagi mereka yang leka di dalam kehidupan mereka.”

Utusan yang pertama sebelum manusia dimatikan, ialah penyakit. Apabila Allah memberikan manusia itu penyakit dan semakin bertambah penyakitnya, menandakan manusia semakin hampir dengan kematian.

Ada di kalangan manusia yang mengalami keadaan sakit dalam tempoh yang panjang sebelum menemui kematian dan ada yang menanggung kesakitan dalam tempoh yang singkat sebelum kembali menghadap Allah SWT.

Antara tanda kematian lain yang diutuskan kepada manusia ialah uban. Selain itu keupayaan pendengaran yang semakin merosot adalah antara salah satu tanda kematian yang semakin hampir. Penglihatan juga tidak lagi sama seperti biasa dan semakin kabur.

Allah juga mula menarik kembali nikmat-nikmat dunia yang pernah dikecapi sebelum ini. Jika sebelum ini kita dapat menjamu selera dengan pelbagai jenis makanan, tetapi secara perlahan-lahan nikmat itu ditarik semula, tidak dapat menikmati makanan sewenang-wenangnya kerana terpaksa menjaga kesihatan.

Menurut Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani selaku penyumbang di dalam slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm pada setiap hari Khamis, jam 5.15 petang, terdapat juga perkara lain yang diutuskan oleh Allah yang menandakan kematian semakin hampir dengan kita.

Rasulullah SAW bersabda : “Allah telah memberikan peringatan kepada seseorang itu, di mana Allah menundakan ajal sehingga sampai kepada usia 60 tahun”. (Riwayat Abu Hurairah RA).

Malah Rasulullah mengingatkan bahawa sejak manusia lahir sampailah ketika kembali menghadap Allah SAW, Allah jadikan sebanyak 99 perangkap kematian.

Antara perangkap-perangkap itu termasuklah hampir mengalami kemalangan jalan raya, dihinggapi penyakit, hampir mati lemas dan lain-lain lagi. Kalau pun kita dapat melepasi perangkap-perangkap kematian itu, tetapi setiap manusia tidak dapat melepasi satu lagi perangkap iaitu usia tua.

Rasulullah SAW mengajar kita agar sentiasa mengamalkan doa memohon menemui ajal di dalam keadaan husnul khatimah.

Rasulullah bersabda : “Sekiranya Allah inginkan kebaikan pada seseorang, Dia akan melakukan kebaikan kepada orang tersebut.”

Apabila Rasulullah ditanya bagaimana Allah memperlakukan kebaikan kepada seseorang itu, baginda menjawab Allah akan mula pandukan orang tersebut untuk melakukan amal soleh sebelum kematiannya. (Riwayat Anas RA).

Tanda Allah SWT Masih Sayang Kita

Di antara tanda Allah masih menyayangi kita ialah dengan menarik seseorang dan mulai merasai diri mudah untuk melakukan amalan dan kebaikan.

Rasulullah SAW bersabda: “ Jika Allah menyintai seseorang itu, Dia akan memberikan penghormatan baginya” . Lalu apabila ditanya oleh para sahabat bagaimanakah penghormatan yang diberikan itu?

Rasulullah menjawab, Allah akan memimpin seseorang itu untuk melakukan amal soleh ketika mana dia sedang mendekati ajalnya sehingga para jiran tetangganya akan meredhainya. (Riwayat Amru bin Abdul A’s).

Allah Beri Hidayah

Allah akan mengurniakan hidayah kepada insan yang disayanginya. Hidayah membawa maksud bimbingan daripada Allah, ditunjukkan jalan dan perkara yang seharusnya kita lakukan di dalam kehidupan ini.

Ini juga adalah antara petanda seseorang itu akan dikurniakan dengan kematian dan pengakhiran yang baik atau husnul khatimah. Malah jika kematian datang menjemput, dan dia mengetahui akan janji Allah, nyawanya akan segera ditolak keluar dari jasadnya untuk menemui kematian, kerana pada saat itu, dia lebih suka bertemu dengan Allah dan Allah juga suka bertemu dengannya.

Allah Hantar Keburukan

Sebaliknya, jika Allah inginkan keburukan kepada seseorang, Dia akan meletakkan baginya satu tahun sebelum kematiannya dengan ditemani oleh seekor syaitan.

Sebelum meninggal dunia, syaitan akan sentiasa mengekorinya dan di pengakhiran hidupnya menemui ajal di dalam suul khatimah.

Para ulama berpesan agar di dalam hidup kita, jangan sesekali mengunjungi tempat-tempat yang tidak baik, kerana apabila tibanya saat kematian, ini merupakan tanda suul khatimah.

Tempat2 Yang Baik Untuk Husnul Khatimah

Tempat-tempat yang baik untuk husnul khatimah di antaranya ialah di Masjidil Haram, Masjidil Nabawi atau Masjid al-Aqsa.

Faktor Kenapa Seseorang Dipilih Untuk Mendapat Suul Khatimah

Ada beberapa faktor yang menyebabkan seseorang itu menemui pengakhiran suul khatimah.

Faktor pertama ialah seseorang yang meninggal solat. Apabila mengabaikan solat mudah untuknya suul khatimah.

Faktor kedua ialah mereka yang minum arak dan berjudi.

Ketiga, ialah mereka yang derhaka kepada kedua ibu bapanya, kerana dengan menyinggung hati mereka, maka hilanglah keberkatan di dalam hidup kita dan memudahkan syaitan mempengaruhi kehidupan.

Dan faktor terakhir yang menyebabkan seseorang itu menemui pengakhiran yang tidak baik atau suul khatimah ialah mereka yang suka menyakiti hati sesama insan yang lain.

Perkara yang paling penting di dalam kehidupan ialah memperbanyakkan doa kepada Allah SWT supaya kita tergolong di kalangan mereka yang disayangi dan dicintai-Nya.

Pada yang sama menjaga amalan-amalan kita, jangan melakukan sesuatu yang melukai hati Allah yang akan menyebabkan kebencian Allah.

Apabila Dibenci Allah

Apabila dibenci Allah, juga akan hilanglah rahmat-Nya dan menjadikan kita jauh daripada kebaikan-kebaikan yang sewajarnya kita perolehi daripada Allah SWT.

Sumber : PU Syed Channel via ohmymedia

Mohon Subscribe Channel Nasihat Ustaz, Semoga Ada Amalan Kita Untuk Hari Ini, Jom Buat Saham Untuk Akhirat